Tuesday, 11 April 2017

Sultan Muhammad V minati singa

Haiwan singa jantan antara binatang peliharaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang terletak di Royal Kelantan Endurance seluas 56.65 Hektar di Kampung Baruh Raja, Gunong. Baginda begitu meminati haiwan hingga menempatkan pelbagai jenis haiwan iaitu 130 ekor rusa, seekor burung unta, 50 ekor kerbau, 15 ekor kuda dan seekor singa jantan. - Foto Bernama

BACHOK - Sesuai dengan perwatakan baginda yang tenang dan berhemah, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mempunyai sifat menyayangi haiwan, dan antara yang amat diminati Seri Paduka ialah singa.
Baginda pernah memelihara tiga ekor singa - dua betina dan seekor jantan.
Namun dua ekor singa betina itu mati akibat dipatuk ular.

Menceritakan kejadian, Pengurus Royal Kelantan Endurance Tuan Ngah Tuan Muda berkata, beliau cukup merasa reda melihat Tuanku Sultan tidak murka semasa dimaklumkan berkenaan kematian singa itu.
"Sebaliknya baginda mendengar dengan teliti setiap laporan termasuk laporan pakar perubatan haiwan yang dipersembahkan kepada baginda," kata Tuan Ngah yang telah 18 tahun berkhidmat di Royal Kelantan Endurance, di mana haiwan kesayangan baginda dipelihara.

"Baginda mula memelihara tiga ekor singa itu sekitar September tahun lepas yang dibeli dari Afrika dan ditempatkan di sebuah kandang khas berkeluasan 4 hektar," kata Tuan Ngah ketika ditemui Bernama di sini.
Tuan Ngah berkata, pihaknya melakukan persiapan kira-kira enam bulan bagi menempatkan tiga ekor singa itu merangkumi pembinaan pagar elektrik, dua buah gua untuk singa berehat dan dua kandang khusus untuk memberi makan haiwan berkenaan.

"Seekor singa akan diberi makan dua hari sekali iaitu daging segar seperti lembu, kerbau atau kambing sebanyak empat kilogram. "Bagi mengelakkan singa-singa berkenaan bosan, kami akan melepaskan beberapa ekor ayam agar singa-singa itu dapat mengekalkan kecergasan mereka," katanya.  

"Baginda mahu semua haiwan yang dipelihara di sini berada dalam keadaan baik, selamat dan sihat.  
"Baginda melawat kawasan ini sekurang-kurangnya dua kali sebulan," katanya.

Menurut Tuan Ngah, sifat baginda sayangkan haiwan dan minat memelihara haiwan dizahirkan dengan pembinaan 'mini safari' di kawasan seluas 56.65 hektar di Kampung Baruh Raja, Gunong di sini. Tuan Ngah berkata, Royal Kelantan Endurance pada asalnya adalah litar lumba kereta 'go-kart' dan kandang kuda selama puluhan tahun, namun kawasan itu bertukar menjadi mini safari berikutan minat mendalam baginda kepada haiwan.

Katanya, safari itu kini mempunyai 130 ekor rusa, seekor burung unta, 50 ekor kerbau, 15 ekor kuda dan seekor singa jantan.  

Tuan Ngah berkata, baginda Sultan gemar menyumbangkan daging haiwan peliharaannya seperti kambing dan rusa kepada penduduk miskin serta anak yatim di sekitar Bachok.

"Baru-baru ini, sebelum dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda menyedekahkan daging daripada 15 ekor rusa yang dipeliharanya kepada golongan miskin dan anak yatim di Bachok," kata beliau.  
Beliau berkata, baginda juga merancang untuk membina sebuah lagi safari berkeluasan 647.49 hektar di Kemahang, Tanah Merah.  

"Safari berkenaan kini dalam proses pembinaan dan mengikut perancangan, ia akan menempatkan pelbagai haiwan seperti seladang, rusa, lembu dan kambing," katanya.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas. 

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. Harrah's Resort Atlantic City - MapyRO
    Find harrah's resort casino, racetrack & 나주 출장안마 casino locations, rates, amenities: expert Atlantic City 김천 출장안마 research, only 수원 출장마사지 at Hotel and 문경 출장샵 Travel Index. 공주 출장마사지

    ReplyDelete