"WE CLEAN THE UNSEEN"
TERBUKTI musibah memang ada hikmahnya. Di sebalik kemusnahan dan kedukaan, banjir – khasnya yang melanda pantai timur – telah meningkatkan rasa kemanusiaan sesama kita.
Sejak hari pertama bah meranapkan harta-benda dan kehidupan, semua perhatian tertumpu di kawasan-kawasan terlibat, terutama di Kelantan. Mereka yang tidak terkena bencana pun turut hiba.
Hari ini air sudah surut, tetapi kerja-kerja membaik pulih terus melihat tangisan dan kesengsaraan. Bayangkan betapa luluhnya perasaan apabila pulang dari pusat pemulihan dan mendapati rumah hanya tinggal tiang dan lumpur, semuanya ranap dihanyutkan air.
Dan, betapa kanak-kanak tidak cukup makanan – sebab bekalan tidak sampai akibat jalan terputus – tinggal dalam kegelapan kerana tiada bekalan elektrik, dan tiada air bersih untuk digunakan.
Pada saat-saat duka inilah rakyat 1Malaysia menunjukkan keprihatinan. Mereka bersatu untuk membantu. Banjir yang terburuk dalam sejarah ini telah menjelmakan sikap penyayang sesama kita.
Beratus-ratus tan makanan dan pakaian sumbangan daripada orang ramai dihantar ke kawasan bencana. Beribu-ribu sukarelawan dari seluruh negara dengan rela digerakkan untuk membantu kerja-kerja membaik pulih.
Mereka membantu apa sahaja yang termampu, termasuk darah. Seperti yang dilaporkan media kempen derma darah untuk mengisi Tabung Bekalan Darah Pusat Darah Negara (PDN) bagi keperluan semasa negeri-negeri terlibat banjir, mendapat sambutan menggalakkan dan melebihi sasaran.
Ada yang menderma pakaian sekolah, peralatan memasak, alat-alat membersihkan lumpur, khemah, dan sebagainya. Individu, NGO, parti politik, syarikat korporat, semua tampil membantu apa sahaja yang boleh.
Ternyata orang kita tidak kedekut menderma. Ada syarikat korporat yang menderma RM5 juta. Tabung-tabung mangsa banjir yang dilancarkan berjaya mengutip RM berjuta. Bagi yang mampu, sumbangannya berjuta. Bagi yang tidak mampu mereka menderma seikhlas hati walaupun hanya RM1.
Pendek kata, orang kita – tanpa mengira kaum, agama dan warna parti – rela memberi, menderma dan membayar ketika ditimpa bencana. Itulah sikap murni kita, syabas!
Tetapi ada juga sikap yang tidak berapa murni ditunjukkan oleh orang kita. Ketika senang dan dalam keadaan serba-serbi selesa, sesetengah kita tidak mahu melunaskan apa yang patut dibayar.
Contoh: ada yang kedekut, buat-buat lupa, atau liat untuk membayar bil khidmat pembetungan.
Pada hal mereka boleh membayar benda-benda lain lebih mahal yang diperlukan setiap hari. Mereka tidak kedekut dan sedia membayar RM ribu-ribu membeli telefon bimbit dan lain-lain gajet tercanggih.
Mereka membayar RM120 sebulan untuk data plan supaya dapat ber-Twitter, WhatsApps, Facebook. Perangkaan terkini Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyebut terdapat lebih 16 juta pemegang akaun FB di negara kita; bayangkan berapa banyak duit dibelanjakan untuk media sosial!
Kita tidak kisah membayar RM30 untuk ‘top-up’ HP. Tambah RM30 hari ini, lusa sudah habis sebab asyik ber-FB. Kita isi minyak motosikal setiap hari, bayar RM ratus-ratus untuk penuhkan tangki kereta mewah dengan RON97.

Banyak lagi RM keluar dari dompet untuk bayar tol, parking, upah budak jaga kereta, dan lain-lain.
Malah, kita tidak kedekut menjamu keluarga di restoran ayam goreng popular, piza, burger, minum kopi berjenama dari Amerika, hatta menikmati nasi kandar ayam kicap di restoran pilihan. Cuba congak, berapa kena bayar untuk makan sekeluarga lima orang di tempat-tempat tersebut? Paling tidak pun RM100 sekali makan.
Tetapi, kenapa susah sangat untuk menjelaskan bil pembetungan? Pada hal Indah Water Konsortium mengenakan bayaran hanya RM8 sebulan, atau tidak sampai 30 sen sehari. Atau, untuk keluarga lima orang bayarannya hanya 6 sen seorang, setiap hari.
Kita sanggup membayar RM ratusan sebulan untuk menikmati hidangan lazat di restoran ayam goreng atau restoran nasi kandar. Tetapi, siapa yang menguruskan semua yang terhadam di perut dan keluar dari tubuh, dan masuk ke tangki septik di rumah kita?
Maka, kita patut membayar bil bulanan – meliputi kos-kos operasi dan kos elektrik yang meningkat 10%-15% setahun. IWK mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati dan prihatin membantu mangsa banjir. Sikap prihatin itu patut juga diberikan kepada khidmat pembetungan.

Source: Sinar Harian 15 Jan 2015
No comments:
Post a Comment