Memang tak dinafikan dari satu pandangan, pemberian gajet kepada kanak-kanak boleh menyebabkan pelbagai permasalahan kepada perlakuan kanak-kanak, seperti perlakuan anti-sosial, sebagai contoh. Namun jika dilihat disebaliknya, iPad juga turut boleh membantu kanak-kanak belajar; jika digunakan dengan sewajarnya dan diawasi. Ia juga turut boleh mengajar kanak-kanak cara untuk berkomunikasi jika ibubapa memanafaatkan sepenuhnya.
Jadi persoalannya, bagaimana kita selaku ibubapa boleh mengawal atau mengajar kanak-kanak untuk menggunakan kemudahan seperti iPad dengan sebetulnya?
1. Contoh melalui teladan.
Jika anda selaku ibubapa seringkali menggunakan gajet setiap masa di hadapan kanak-kanak, adalah sukar untuk mereka memahami mengapa mereka tidak patut menggunakan gajet setiap masa. Bak kata pepatah Melayu, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Jadi, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mengurangkan penggunaan gajet di hadapan anak-anak anda. Tunjukkan melalui teladan bahawa anda sendiri kurang menggunakan gajet, barulah mereka berasa lebih adil dan mudah menerima.
Sekiranya perlu, masuk ke tandas untuk menjawab whatsapp rakan anda! :P
2. Memperkenalkan peraturan untuk penggunaan gajet.
Sekiranya anak-anak dibiarkan bermain dengan gajet sepanjang masa tanpa peraturan, pelbagai masalah mungkin timbul. Masalah seperti bateri habis, dibiarkan merata, dicampakkan ke sana-sini, dan pelbagai lagi masalah mungkin timbul.
Jadi kita perkenalkan peraturan untuk menggunakan gajet. Sebagai contoh:
- Tetapkan tempat untuk bermain gajet. Seperti di ruang tamu sahaja. Jangan benarkan anak anda bawa gajet tersebut keluar dari tempat yang telah ditetapkan.
- Jangan gunakan gajet ketika seluruh keluarga sedang berkumpul bersama. Adalah penting untuk seluruh keluarga berkomunikasi, jadi sama sekali gajet dilarang!
- Cas semula selepas guna. Ajar anak anda untuk meletakkan semula gajet tersebut ke tempat asal, dan pasang semula chargernya. Berapa kali dalam pengalaman anda, apabila anda ingin menggunakannya, bateri sudah habis dan tidak dicas semula?
Kita boleh memperkenalkan peraturan ini untuk memudahkan semua pihak, disamping mengajar tanggungjawab kepada anak-anak.
3. Menentukan masa untuk bermain gajet
Tentukan masa yang spesifik anak-anak boleh bermain gajet. Masa seperti waktu makan dan waktu membuat kerja sekolah adalah dilarang sama sekali. Masa sebelum waktu tidur juga turut tidak dibenarkan kerana terdapat permainan-permainan di dalam gajet yang boleh menyebabkan kanak-kanak semakin bersemangat lalu menyebabkan mereka sukar tidur.
4. Tentukan jangkamasa penggunaan gajet
Kanak-kanak, jika dibiarkan bermain gajet, memang akan berlarutan. Kalau dibiarkan, memang sampai tengah malam pun belum tamat. Jadi kita perlu menetapkan masa mereka bermain, dan ajar mereka sejak dari kecil lagi agar mematuhi peraturan tersebut.
Sebagai contoh, gunakan jam randik atau jam loceng untuk menetapkan masa menggunakan gajet. Tetapkan sejam, atau dua jam; dan sebaik sahaja jam tersebut berbunyi, anda perlu mengambil semula gajet tersebut. Mungkin sukar pada mulanya untuk memulakan langkah ini, tapi kaedah ini juga dipanggil conditioning. Kanak-kanak akan memberikan respond kepada bunyi loceng tersebut. Akan tiba satu masa bila berbunyi saja bunyi loceng, anak anda sendiri datang dan menyerahkan gajet kepada anda!
5. Tentukan aplikasi jenis apa yang boleh digunakan
Kenalpasti aplikasi apa yang boleh menyebabkan anak anda leka atau menyebabkan mood mereka menjadi buruk. Kemudian buang atau kuncikan (lock) aplikasi tersebut agar mereka tidak menggunakannya lagi.
Internet browser seperti Chrome, Firefox dan lain-lain lagi perlu ditetapkan agar dipasang Child Lock. Dalam dunia internet dihujung jari ini, pelbagai kandungan yang tidak bersesuaian dengan kanak-kanak boleh didapati dengan sekali klik. Jadi pihak Google sendiri telah memperkenalkan Child Lock untuk menapis gambar atau website yang tidak bersesuaian.
Juga, jangan benarkan anak anda mendownload aplikasi sendiri dari PlayStore atau iTunes. Sekiranya berlaku, buang aplikasi tersebut serta-merta dan pasang lock untuk menghalang mereka untuk menginstall sebarang aplikasi. Jika mereka ingin bermain satu aplikasi dari market, mereka boleh meminta kebenaran anda. Jika dirasakan aplikasi tersebut okay, anda sendiri yang perlu memuat turun aplikasi tersebut.
6. Jadikan gajet sebagai bahan ganjaran
Anda selaku ibubapa boleh menggunakan kaedah ini untuk menyuruh anak anda melakukan sesuatu. Sebagai ganjaran, mereka akan diberikan masa untuk bermain gajet. Sebagai contoh:
- Basuh kereta ayah: 1 jam masa tambahan.
- Cabut rumput luar rumah: 30 minit masa tambahan
- Picit bahu ayah/mak: 1 minit untuk setiap minit bahu anda dipicit.
Disamping mengajar anak anda melakukan kerja-kerja rumah, kerja anda juga turut dimudahkan. Bak kata pepatah Inggeris, kill two birds with one stone.
7. Menggunakan gajet sebagai hukuman
Anda selaku ibubapa bermurah hati memberikan gajet untuk anak-anak anda bermain. Jadi anda juga turut boleh mengambilnya semula. Jadi gunakan gajet ini sebagai hukuman.
Sebagai contoh, sekiranya mendapat B di sekolah, mereka tidak boleh bermain gajet untuk sebulan. Contoh lain adalah sekiranya mereka berlaku nakal, atau berkata kasar, anda boleh mengambil semula gajet sehinggalah mereka belajar tidak melakukannya semula.
8. Tunjukkan kuasa anda selaku ibubapa
Mungkin ada ibubapa di luar sana yang memberikan gajet kepada anak mereka apabila diminta agar anak mereka tidak menangis. Perlakuan ini akan memberikan idea kepada kanak-kanak bahawa mereka boleh mendapat gajet hanya dengan berguling di atas lantai.
Jadi, apabila sampai masa untuk anda sendiri ingin menggunakan gajet tersebut, ambil sahaja dari mereka. Biar saja mereka berguling, menangis, meratap. Sekiranya ini berlaku, jangan berikan semula gajet tersebut kepada mereka sehinggalah mereka belajar bahawa gajet tersebut adalah milik anda dan mereka perlu memberikannya semula apabila anda memerlukannya. Mereka hanya menggunakannya sebagai satu keistimewaan, dan keistimewaan tersebut boleh ditarik bila-bila masa. Apabila mereka sudah memahami peraturan tersebut, baru boleh dikembalikan semula.
Masih kurang kajian dilakukan untuk mengetahui kesan sebenar gajet kepada kanak-kanak. Ada yang berpendapat gajet bagus, dan boleh membantu kanak-kanak belajar dan menjadi lebih kreatif. Ada juga yang berpendapat gajet boleh menyebabkan kanak-kanak terlalu taksub di dalam dunia khayalan dan menyebabkan perlakuan anti-sosial.
Namun walau apa pun pendapat anda, adalah tidak digalakkan untuk membelikan gajet persendirian untuk kanak-kanak yang masih bayi dan di peringkat sekolah rendah. Kanak-kanak memerlukan pelbagai pengalaman terhadap deria-deria mereka yang gajet-gajet di luar sana tak mampu berikan. Mungkin boleh menggunakan satu sahaja gajet seperti iPad bagi seluruh keluarga, dan dikongsikan bersama.
Apa pun pendapat anda, penggunaan gajet adalah perlu dihadkan agar tidak mengganggu proses tumbesaran fizikal dan mental anak anda. Selamat mencuba tips yang diberikan!
Sumber: you are special
No comments:
Post a Comment