Monday 14 December 2015

Seloroh Orang Kedah: Piala Malaysia 2015 Selangor VS Kedah


BOLA KEDAH, BOLA SELANGOR

Purata pendapatan kasar isi rumah (mean monthly gross household income) Kedah ialah RM4,478, sementara Selangor mencatatkan dua dua kali ganda jumlah tersebut iaitu RM8,252. Di Kedah, ada Pekan Rabu, Laksa Teluk Kechai dan Pasembor, manakala di Selangor ada dua lapanganterbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Sultan Abd Aziz Shah, Subang. Di Kedah ada Gunung Jerai, Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai, di Selangor ada Multimedia Super Corridor (MSC), tempat persidangan Commonwealth Head of Government Meeting, dan pernah menerima kedatangan Presiden Obama.

Dilihat dari sisi apa pun, Selangor jauh lebih hebat berbanding Kedah. Mungkin sebab itulah maka orang Kedah digambarkan sebagai orang kecil.Saya orang Kodiang dan Kodiang sering dijadikan bahan jenaka di tv. Mungkin kerana orang Kedah orang kecil, mereka sering kata "NO" walaupun sebenarnya mereka nak kata "YES." Contoh: Bola malam ni Kedah menang kot NO?

Walaupun dua orang Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan ramai lagi berasal dari Kedah, namun orang Kedah tidak dilihat besar. Di mata wartawan yang tinggal di Selangor, cerita orang Kedah naik lori datang ke Shah Alam adalah berita. Walaupun di Changloon ada Universiti Utara Malaysia yang lahir ilmuan negara, cerita orang Changloon naik lori datang Shah Alam adalah berita besar.

Sebagai "orang kecil," orang Kedah kena berjuang untuk hidup. Saya fikir itulah semangat perjuangan yang akan Kedah tunjukkan di Stadium Shah Alam pada malam ini. Soal menang atau kalah, itu soal kedua. Cuma, orang yang mempunyai daya juang yang tinggi selalunya akan menang.

Selain kemenangan, saya harapkan penyokong Kedah:
(1) Usah buat onar di dalam stadium.
(2) Selepas perlawanan tamat, kutip sampah masing-masing dan buang di dalam tong sampah.
(3) Bagi yang sampai awal (walaupun dengan lori!), singgah solat di Masjid Seksyen 13 berdekatan stadium. Usah tangguh solat selepas Isyak, nanti terlupa - kan kita nak usung piala sampai Subuh?

Seperti penyokong yang lain, saya mengharapkan kemenangan. Namun kemenangan yang lebih bererti ialah apabila penyokong Kedah menunjukkan semangat kesukanan dan kenegaraan yang tinggi!

Sumber FB

No comments:

Post a Comment